28 FEB : Russia membedil pesawat kargo terbesar di dunia, Antonov-225 buatan Ukraine, di luar bandar ini pada hari keempat pencerobohan Moscow.
Dengan panjang 84 meter, pesawat itu dianggap unik kerana boleh mengangkut sehingga 250 tan kargo pada kelajuan sehingga 850 kilometer sejam.
Pesawat itu dinamakan Mriya, yang bermaksud mimpi dalam bahasa Ukraine.
“Penceroboh Russia memusnahkan kapal terbang utama Ukraine, AN-225 di lapangan terbang Antonov di Gostomel, dekat Kyiv,” kata agensi milik Ukraine, Ukroboronprom.
Lapangan terbang Gostomel menyaksikan pertempuran ganas sejak permulaan pencerobohan Russia, yang dilancarkan oleh Presiden Vladimir Putin, Khamis lalu.
Pesawat gergasi itu dibina sebagai sebahagian daripada program aeronautik Soviet dan An-225 membuat penerbangan pertamanya pada tahun 1988.
Selepas bertahun-tahun tidak terbang kerana kejatuhan Kesatuan Soviet, ia membuat penerbangan ujian pada tahun 2001 di Gostomel, kira-kira 20 kilometer dari Kyiv.