1 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan aset milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan di dalam dan luar negara bernilai kira-kira AS$10 juta (RM41.8 juta).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pembekuan aset membabitkan wang tunai dan hartanah itu bagi membantu siasatan dakwaan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner diperas ugut wanita berkenaan dalam pembelian sebuah rumah di London menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Buat masa ini saya tidak boleh kongsikan nama-nama lain yang terbabit.
“Perkara lain dalam hal ini ialah kerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk kita mendapatkan apa-apa keterangan daripada pihak di AS,” katanya hari ini.
Azam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Sebelum ini SPRM dilaporkan akan membuat permohonan bagi mendapatkan maklumat daripada Jabatan Keadilan (DOJ) AS berkaitan Leissner.
Permohonan dikemuka kepada DOJ AS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Leissner itu.
Rohana pula dilaporkan dipanggil dua kali oleh SPRM untuk dirakam keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
Sebelum ini, perbicaraan kes 1MDB di AS bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang dia mempunyai hubungan dengan Rohana.
Ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner berkata, hubungannya dengan Rohana berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.