1 MAC: Seramai 7,625 mangsa banjir di Kelantan dipindahkan ke 47 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.
Menurut portal InfoBencanaJKM, ia membabitkan mangsa dari enam buah daerah iaitu Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, Pasir Puteh, Machang dan yang paling tinggi ialah Pasir Mas.
Jumlah tersebut adalah dari 2,491 keluarga yang terdiri daripada 4,774 dewasa, 2,648 kanak-kanak, 203 bayi, 413 warga emas dan 47 orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, menurut portal Mypublic Infobanjir, dua sungai utama masih di paras amaran iaitu Kampung Temangan di Machang mencatatkan bacaan 16.75 meter dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pula 23.1 meter.
Walaupun keadaan cuaca di beberapa kawasan kembali cerah, namun kawasan-kawasan berisiko masih ditenggelami air terutamanya di jajahan Pasir Mas.
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan arahan pihak berwajib untuk berpindah dan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa berada di PPS.