1 MAC : Ringgit meneruskan kenaikan semalam untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, didorong oleh harga minyak mentah yang stabil berikutan krisis Russia-Ukraine yang berpanjangan, kata peniaga.
Pada 6 petang, mata tempatan meningkat kepada 4.1920/1945 berbanding dolar AS daripada 4.1970/2015 ketika ditutup pada Isnin.
Laporan berita menyatakan harga minyak mentah melonjak pada Selasa memandangkan perbincangan berkaitan pelepasan stok minyak mentah dunia yang diselaraskan gagal meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan disebabkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine selain sekatan yang berkaitan.
Peniaga berkata, selepas melepasi paras aliran rendah minggu lalu, penurunan semula dolar AS secara tidak ketara berbanding mata wang tempatan sememangnya sudah dijangkakan.
Beliau bagaimanapun berkata, ucapan Presiden AS, Joe Biden lewat hari ini mungkin memberi kesan besar ke atas pasaran, memandangkan Biden dijangka membuat pengumuman berhubung situasi di Ukraine.
“Walaupun sudah berulang kali beliau mengatakan tidak berhasrat untuk menghantar tentera ke Ukraine, pasaran akan memantau perkembangan itu kerana berkemungkinan beliau mengumumkan sekatan baharu ke atas Russia.
“Dari sudut pandang teknikal, sekiranya dolar AS/ringgit berupaya melepasi paras 4.2050, ia akan melengkapkan corak pelepasan secara berkesan daripada aliran rendah dan boleh mengalami kenaikan kukuh setinggi 4.2450 dalam beberapa hari,” katanya.
Minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$102 setong dalam situasi kebimbangan terhadap krisis di Eropah Timur. Semasa penutupan dagangan hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama.
Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0944/0967 daripada 3.0897/0934 ketika ditutup pada Isnin, serta turun berbanding pound Britain kepada 5.6231/6265 daripada 5.6139/6199.
Ringgit lemah berbanding yen kepada 3.6519/6544 daripada 3.6319/6361 semalam, dan rendah berbanding euro kepada 4.6934/6962 daripada 4.6922/6973.- BERNAMA