2 MAC : Tindakan Timbalan Presiden UMNO memberikan kata dua kepada Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, sama ada mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin atau meletakkan jawatan amat dikesali.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kenyataan Datuk Seri Mohamed Hassan itu seolah-olah dilihat cuba menekan Perdana Menteri yang sedang berusaha melaksanakan tugas membangunkan negara.
“Saya merasa kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, parti saya sendiri di mana kenyataannya yang mendesak Perdana Menteri agar mengadakan pilihan raya secepat mungkin.
“Beliau mendesak Perdana Menteri untuk menasihatkan Yang DiPertuan Agong untuk mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin malah, memberi kata dua, jika gagal menasihati Agong, maka Perdana Menteri haruslah meletakkan jawatan.
“Apa punya kenyataan ini? Kenyataannya itu seolah-olah menekan Perdana Menteri. Kenyataan seperti itu menjejaskan dan menggugat kestabilan Perdana Menteri dan kerajaan untuk meneruskan kerja-kerja untuk kepentingan rakyat.
“Jika kita menekan Perdana Menteri, bagaimana kerajaan mahu terus berusaha dengan pelbagai tindakan serta inisiatif untuk kepentingan rakyat. Jadi, saya sebagai orang kecil dalam parti, dalam kerajaan terpaksa bersuara berkenaan hal ini,” tegasnya ketika membahaskan titah Yang Di Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak turut menyentuh tentang isu pengeluaran wang simpanan KWSP yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta kerajaan membenarkan rakyat membuat pengeluaran melalui i-Citra.
“Perdana Menteri telah membuat kenyataan bahawa Kabinet telah membuat keputusan berkenaan hal itu. Maka hormatilah.
“Ahli Parlimen Pekan pun sepatutnya hormatilah keputusan yang telah dibuat Perdana Menteri, Kabinet dan juga kerajaan. Keputusan yang dibuat itu bukan kerana kepentingan peribadi, dan bukan juga kepentingan orang tertentu.
“Keputusan itu dibuat untuk kepentingan rakyat juga. Sekiranya habis semua wang simpanan dikeluarkan, apa akan jadi pada masa yang akan datang? Kesusahan, penderitaan, kesengsaraan jika semua simpanan sudah habis dikeluarkan.
“Betul itu duit mereka, tetapi kita sebagai pemimpin, sebagai kerajaan perlulah menasihati, mendidik dan menjaga rakyat. Kita janganlah bermain politik dalam isu ini,” ujarnya lagi.
Tegasnya lagi, berilah kepercayaan dan keyakinan kepada Perdana Menteri untuk mentadbir dan meneruskan dasar-dasar yang dapat membantu rakyat dalam keadaan negara yang sedang mengalami krisis pandemik dan ekonomi hari ini.
“Kalau semua yang dibuat oleh Perdana Menteri, Kabinet kita tidak bersetuju, kita ganggu dan kita gugat, apa nak jadi? Kerajaan apa yang kita mahukan sekarang ini? Saya rasa tidak wajar kenyataan seperti itu dibuat,” tegas.
Tajuddin turut menyentuh soal ‘little Napoleon’ dalam kerajaan apabila ada pihak yang tidak akur arahan Perdana Menteri termasuk perkara untuk rakyat.
” Arahan Perdana Menteri diperap sebab mereka tidak suka dengan perkara hendak dilaksanakan.
“Saya ada bukti ( perbuatan mereka ini). Kasihan Perdana Menteri. Beliau orang baik, tidak reti buang orang. Nanti kalau buang, ada pula yang merajuk, nak tarik sokongan sebagainya,” tegas Tajuddin.
Justeru beliau mengingatkan bahawa untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara mahu, ahli-ahli kabinet, menteri dan pegawai tinggi kerajaan perlulah komited dan sehati sejiwa dengan kerajaan bagi melaksanakan semua dasar itu.
“Menteri-Menteri mesti komited, jangan fikir fasal parti berlainan, kita tidak sokong apa agenda Perdana Menteri. Ini tidak boleh. Dan dalam sesama parti sendiri pun, jangan cuba mahu bermain politik,” tegasnya.