2 MAC: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meminta Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mengemukakan permohonan bagi pembangunan jalan di 32 kampung di kawasan parlimen tersebut.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah berkata, ia susulan pihaknya mendapati projek pembangunan jalan di kesemua kampung tersebut tidak terdapat dalam senarai projek yang diluluskan KPLB.
“Saya minta kerjasama YB (Yang Berhormat) untuk membuat permohonan.
“Permohonan ini perlu dikemukakan kepada Unit Ekonomi Negeri Sabah untuk dimasukkan dalam keutamaan negeri sebelum diangkat ke Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk kelulusan roling plan berikutnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan berkaitan Jalan SinulihanPahu, Jalan Kotunuan-Wasai, Jalan Tinuhan-Wangkod, Jalan Tombolaoung, Jalan Hamad-Kitapol, Jalan Tomboilik-Tiong Koburon dan Jalan RungusGayoratau di kawasan Parlimen Tuaran akan dinaik taraf kepada Jalan Aspal.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Madius berkaitan jalan-jalan kampung yang menuju ke sekolah akan menjadi keutamaan untuk dinaik taraf, Hasbi berkata sekiranya sekolah tersebut terletak di dalam kampung secara automatik akan mendapat manfaat di bawah Jalan Perhubungan Desa.
Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, kementerian akan mempertimbangkan penyelesaian bagi jangka pendek dengan membina Jalan Perhubungan Desa.
“Pejabat KPLB Sabah akan diminta turun ke lapangan untuk melakukan siasatan tapak dan menyediakan anggaran peruntukan yang diperlukan khususnya bagi jalan utama ke kampung menuju ke sekolah,” katanya.