Majikan boleh tempah slot kuarantin pekerja asing bulan ini
2 MAC : Majikan boleh membuat tempahan slot kuarantin bagi pekerja asing yang dijangka masuk ke Malaysia mulai bulan ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, tempahan boleh dibuat selepas pekerja asing lulus pemeriksaan kesihatan dan dikeluarkan Visa Dengan Rujukan (VDR) menerusi platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di https://fwcms.com.my/.
VDR merujuk kepada visa dikeluarkan Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara kepada seseorang yang bukan warganegara, bagi membolehkan individu berkenaan masuk ke Malaysia selepas visa diluluskan ibu pejabat Jabatan Imigresen.
Saravanan berkata, lokasi pusat kuarantin terhad dan berada di sekitar Lembah Klang merangkumi hotel seperti terdapat dalam senarai pusat kuarantin swasta yang diluluskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Anggaran kos kuarantin adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 merangkumi penyediaan penginapan, makan minum (tiga kali sehari), pengangkutan ke pusat kuarantin dan ujian saringan COVID-19 ketika dalam tempoh kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setakat semalam 171,133 permohonan penggajian pekerja asing diterima sejak ia dibuka bermula 15 Februari lalu membabitkan sektor perkilangan (118,967), perkhidmatan (21,040), perladangan (15,787), pembinaan (12,252) serta pertanian (3,087).
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember tahun lalu bersetuju pengambilan pekerja warga asing dalam sektor dibenarkan bagi penggajian pekerja asing. – BERNAMA