2 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga atas pemergian adiknya, Rusli Ibrahim.
Ismail Sabri menyampaikan salam takziah itu menerusi hantaran di laman Twitter malam tadi.
“Takziah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga atas pemergian adindanya, Tn Hj (Tuan Haji) Rusli Ibrahim. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham adalah anak kelima daripada sembilan adik-beradik.
Terdahulu menerusi laman Twitter, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memaklumkan adiknya meninggal dunia pada usia 74 tahun di Hospital Selayang, semalam.
Difahamkan Allahyarham Rusli meninggal dunia akibat sakit tua pada kira-kira 2.20 petang selepas dirawat di Hospital Selayang sejak beberapa minggu lepas dan jenazah beliau dibawa ke Masjid Al-Ubudiah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan sekitar Ampang malam tadi. – BERNAMA