2 MAC : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan terdapat pindaan dan tambahan bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) pilihan raya negeri (PRN) Johor ke 15 yang berdasarkan cadangan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut SPR menerusi satu kenyataan, pindaan dan tambahan kepada SOP itu adalah melibatkan ceramah dan juga jumlah kehadiran peserta.
“Ceramah, syarahan atau kempen hanya dibenarkan diadakan di dalam dan di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, manakala jumlah kehadiran pula adalah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah, termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta.
“Ruang penjarakan fizikal perlu sekurang-kurangnya 1 meter, diwajibkan memakai pelitup muka dan sebarang ceramah atau syarahan kempen tidak boleh melebihi pukul 12 tengah malam. Ceramah, kempen di premis terbuka atau tempat umum juga tidak dibenarkan,” kata SPR menerusi kenyataan itu.
Semua pindaaan dan tambahan pada SOP pencegahan COVID-19 dalam tempoh kempen PRN Johor ini menurut SPR lagi, berkuat kuasa dengan serta merta.
Sehubungan itu, SPR berharap agar semua pihak mematuhi undang-undang , peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan COVID-19 itu bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.
“Ini bagi memastikan ia tidak mengganggu gugat kententeraman dan keselamatan awam. Sebarang makluman berkenaan pindaan dan tambahan SOP pencegahan COVID-19 ini boleh dirujuk di portal spr.gov.my,” kata kenyataan itu lagi.