4 MAC: Sebanyak 32,467 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan semalam sekali gus menjadi angka tertinggi setakat ini dan menjadikan keseluruhan kepada 3,528,557 kes.
Kali terakhir negara mencatatkan angka melebihi 32,000 kes adalah pada 24 Februari lalu iaitu sebanyak 32,070 kes.
Data dalam laman sesawang COVIDNOW juga menunjukkan sebanyak 27,629 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 di negara ini sejumlah 3,197,298.
Selain itu, sebanyak 86 kematian direkodkan semalam, menjadikan sebanyak 33,028 kes dilaporkan setakat ini.
Ia termasuk 28 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan jumlah keseluruhan 6,808 kes BID.
Sehingga tengah malam tadi juga, sebanyak 298,231 kes masih lagi aktif dengan 286,097 kes menjalani isolasi di rumah; seramai 3,457 individu dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC); dan 8,322 pesakit menjalani rawatan di hospital.
Sementara itu, kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) negara meningkat sedikit ke 1.01 berbanding 1.00 setakat semalam.