4 MAC: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Ter Hwa Kong, disahkan positif COVID-19 menerusi ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR), hari ini.
Berikutan itu, calon terbabit membatalkan semua kempen fizikalnya, berkuat kuasa serta-merta.
Hwa Kong dalam satu kenyataan berkata, beliau dan pasukan kempennya membuat ujian saringan selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
“Saya akan menjalani prosedur susulan seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan meminta individu yang menjadi kontak rapat dengan saya untuk menjalani ujian saringan COVID-19,” katanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi DUN Penggaram menyaksikan saingan empat penjuru antara Hwa Kong dan Sia Wee Yet (PN), Gan Peck Cheng (PH) serta Zahari Osman (Bebas).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, DUN Penggaram dimenangi Peck Cheng, daripada DAP selepas mengalahkan calon BN, Kang Ben Kuan dengan majoriti 17,205 undian. – BERNAMA