Australia senaraikan Hamas sebagai kumpulan pengganas
4 MAC : Kumpulan Islam Palestin, Hamas disenaraikan Australia sebagai kumpulan keganasan dalam usaha negara itu mengekang keganasan agama dan politik.
Tindakan menyenaraikan Hamas sebagai kumpulan pengganas itu seiring dengan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Britain.
Sejak 20 tahun lalu, Australia mengkategorikan sayap separa tentera Hamas, Brigade Izz al-Din al-Qassam, sebagai kumpulan pengganas, namun bulan lalu memaklumkan akan mengemas kini pertubuhan itu secara menyeluruh dengan mendapatkan nasihat ketua negeri dan wilayah di Australia.
Perubahan itu meletakkan Australia seiring dengan sekutunya, yang turut mengetatkan langkah terhadap Hamas, atas alasan akses Hamas terhadap senjata dan fasiliti latihan keganasan.
Langkah menyenaraikan pertubuhan adalah bagi mengekang ekstremis keganasan dan menghantar mesej bahawa Australia mengutuk penggunaan keganasan untuk mencapai matlamat politik, agama atau ideologi.
Hamas yang memiliki sayap politik dan ketenteraan, memerintah Semenanjung Gaza sejak perang saudara pada 2007 apabila badan itu menyingkirkan kumpulan tentera yang setia kepada Presiden Palestin yang disokong Barat, Mahmoud Abbas.
Abbas kekal dominan di kawasan Palestin di Tebing Barat yang diceroboh Israel.