4 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbangga dengan usaha Kerajaan Johor
dan agensi kerajaan lain untuk merealisasikan projek-projek perumahan di seluruh negeri itu dengan membina membina perumahan yang berdaya huni.
Beliau berkata, tindakan itu selari dengan aspirasi memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik.
“Kerajaan Negeri Johor telah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) sebagai agensi utama yang menguruskan perumahan dan hartanah di negeri ini.
“Ini ditambah dengan usaha-usaha sedia ada agensi-agensi Kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari,” katanya semasa lawatan ke Residensi Larkin Indah di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata, skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA yang dilaksanakan adalah selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia serta Kempen Pemilikan Rumah, ‘Home Ownership Programme’ (HOPE) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, sebagai permulaan ia ditawarkan kepada pembeli kediaman Residensi Larkin Indah sebelum
diperluaskan ke projek PR1MA yang lain.
Perdana Menteri berkata, inisiatif pembiayaan inovatif PR1MA merupakan satu contoh yang wajar dijadikan penanda aras dalam usaha Kerajaan dan pihak industri seperti PR1MA dalam menyediakan akses kewangan yang mudah kepada pembeli rumah PR1MA.
Menurutnya, inisiatif yang mesra pembeli ini pastinya dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai Keluarga Malaysia khususnya golongan muda dan yang berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang tentang pembiayaan perumahan.
“Ini adalah antara isu penting yang dibangkitkan dan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) baru-baru ini. Alhamdulillah kita sudah dapat melihat hasil daripada perbincangan tersebut.
“Saya yakin dan percaya bahawa inisiatif seperti ini membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan dengan jaminan yang dikeluarkan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.
“Usaha ini adalah selari dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu di mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP untuk melaksanakan amanat ini,” katanya.