4 MAC : Penubuhan anak syarikat Kementerian Kewangan, iaitu Skim Jaminan Kredit Berhad (SJKP) membolehkan golongan yang tidak mempunyai slip gaji membuat pinjaman untuk membeli rumah yang dijamin kerajaan sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha tesebut selari dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu di mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP.
“Salah satu syarat membuat pinjaman untuk membeli rumah adalah slip gaji dan sebagainya. Ramai yang bekerja sendiri, tiada mempunyai slip gaji.
“Jadi dengan wujudnya SJKP ini, yang tidak mempunyai slip gaji pun boleh pohon pinjaman, kerana ia akan dijamin kerajaan.
“Kini golongan Keluarga Malaysia yang tidak mempunyai slip gaji, kini boleh membuat pinjaman untuk membeli rumah idaman masing-masing.
“Ini merupakan salah satu usaha yang dilakukan kerajaan bagi memastikan kumpulan yang tidak mempunyai jawatan tetap dan sebagainya, boleh miliki rumah sendiri,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap di Penyampaian Surat Tawaran kepada bakal pembeli Residensi Larkin Indah, di Johor Bahru hari ini.
Turut menghadiri majlis tersebut ialah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Shahril Sufian Hamdan, serta Pengerusi PR1MA Datuk Fathul Bari Mat Jahya.
Melalui aspirasi ‘1 Keluarga 1 Rumah’, menurut Ahli Parlimen Bera itu, KPKT melalui PR1MA telah menjalin kerjasama dengan SJKP bagi melaksanakan Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA
“Saya amat berbangga dengan usaha Kerajaan Johor bersama-sama agensi Kerajaan lain seperti PR1MA untuk merealisasikan projek-projek perumahan di seluruh negeri Johor dalam menyahut seruan kerajaan untuk membina perumahan yang berdaya huni.
“Ini selari dengan aspirasi memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik,” katanya.
Majlis hari ini, kata Perdana Menteri, merupakan bukti keprihatinan pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor serta pihak PR1MA dalam pemilikan rumah bagi Keluarga Malaysia yang berpendapatan sederhana di negeri ini dan kesungguhan mereka untuk membina komuniti pada hari esok.
Ismail Sabri berkata, beliau yakin, Johor di bawah pentadbiran Hasni akan terus berdaya maju, baik dari segi penarikan pelaburan asing, sehinggalah kepada usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya
.