5 MAC: Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya apabila semua mangsa terjejas di daerah Hulu Terengganu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, perkembangan tersebut membolehkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) mula ditutup secara rasmi pada jam 1 petang.
“Seramai 678 penduduk yang berada di empat PPS pulang ke rumah secara berperingkat pagi tadi dengan PPS Balai Raya Kampung Kemat yang menempatkan 201 mangsa ditutup pada jam 11 pagi.
“PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Menerong, Dewan Institut Felcra Betong dan Felcra Gunung Menerong pula ditutup pada jam 1 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terengganu dilanda banjir gelombang kelima bermula Jumaat lalu dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mencecah 18,000 orang.
Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk terjejas dengan pelbagai kemusnahan akibat banjir lumpur yang turut membawa sisa kayu.