7 MAC: Sektor perbankan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk merealisasikan aspirasi negara yang sedang melalui transformasi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor kewangan negara ini yang pelbagai dan maju amat penting dalam memudahcarakan keperluan pembangunan, dengan Malaysia yang terletak strategik di tengah-tengah Asia Tenggara mempunyai salah satu taraf hidup tertinggi di rantau ini.
“Dengan pautan ketersambungan yang cemerlang dan rancangan untuk lebih banyak pelaburan infrastruktur dan modal insan pada tahun-tahun akan datang, negara ini bersedia untuk menjadi pangkalan serantau dan antarabangsa yang ideal untuk perniagaan.
“Kami berhasrat untuk merealisasikan potensi ini dengan meletakkan negara sebagai hab untuk bakat global, pusat pembangunan baharu dan teknologi menarik, serta titik tumpuan untuk pertukaran idea dan maklumat,” katanya.
Beliau berkata, demikian pada pembukaan rasmi ibu pejabat baharu HSBC Malaysia di Menara IQ, yang terletak di pusat kewangan antarabangsa negara, Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, tumpuan utama kini ialah Pelan Tindakan Sektor Kewangan yang memperincikan strategi amat penting bagi sektor kewangan mengharungi cabaran dan peluang yang mendatang, selain merealisasikan matlamat ekonomi digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, pada dasarnya, pelan tindakan itu akan merealisasikan matlamat Malaysia ke arah ‘Kemakmuran, Inklusif dan Mampan’ dengan lebih baik.