7 MAC: Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) Saudi mengumumkan permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang Ramadan dibuka bermula semalam dan boleh dimohon melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.
Kementerian itu menerusi kenyataan dimuat naik di laman Twitter rasminya berkata, ini bagi memudahkan bakal jemaah umrah Ramadan menyusun perancangan mereka lebih awal.
Bagaimanapun, kementerian mengingatkan jemaah yang mahu menukar tarikh tempahan permit akan diminta membatalkan permohonan terdahulu dan membuat permohonan baharu.
“Langkah ini bagi memberi peluang sama rata kepada jemaah lain membuat tempahan,” katanya.
Kenyataan itu berkata, slot tempahan umrah pada Ramadan akan ditambah kepada 12 slot sehari berbanding lapan slot sebelum ini. – BERNAMA