8 MAC: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg disahkan dijangkiti COVID-19, semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Kesejahteraan Wanita, Kanak-Kanak dan Masyarakat Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Miri, hari ini.
“Beliau (Tan Sri Abang Johari) memohon maaf kepada semua tetamu yang hadir pada hari ini kerana tidak dapat merasmikan acara bagi mengiktiraf peranan wanita ini.
“Kami dimaklumkan pada jam 9 malam tadi bahawa beliau tidak dapat hadir untuk merasmikan majlis kita pada pagi ini kerana beliau disahkan positif COVID-19.
“Bersama-sama kita doakan agar Premier Sarawak kita cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya.
Dalam pada itu, Pejabat Premier Sarawak hari ini mengesahkan Abang Johari disahkan positif COVID-19 sejak semalam dan sedang menjalani kuarantin kendiri selama lima hari.