8 MAC : Agenda pemerkasaan wanita akan terus menjadi salah satu agenda penting negara yang memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pemegang taruh bagi menjayakannya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyeru agar perspektif wanita sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar dan perancangan program bagi memastikan wanita mendapat ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan negara.
“Saya percaya bahawa agenda memperkasa wanita merupakan tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan hanya dipikul oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja.
“Dalam hal ini, saya ingin memuji peranan serta inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam membantu membangun, memperkasa, mengiktiraf kebolehan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara,” katanya di Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita 2022 di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff serta ramai lagi barisan menteri lain.
Bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif-inisiatif seperti termasuk Penubuhan Majlis Wanita Negara (BDPS) dan kewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual
“Bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian yang panjang, Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah dimantapkan lagi.
Hakam merupakan satu kaedah untuk memudah dan mempercepatkan proses perceraian di kalangan pasangan Islam.
“Kaedah ini diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai,” jelasnya.
Tambah Ismail Sabri lagi, berhubung dengan perceraian juga, kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.
Melalui akta itu menurut beliau, pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri, sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang ringgit di Mahkamah yang dikenali sebagai kaedah Hiwalah.
Selain itu katanya lagi, memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh Wanita yang kematian suami, Ketua Jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah digalakkan untuk membenarkan Wanita tersebut untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.
Ismail Sabri berkata, sebanyak RM230 juta dana pembiayaan telah disediakan kerajaan melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah TEKUN.
“Selain itu, Program MyKasih Kapital yang dilaksanakan oleh kerajaan turut memperuntukkan insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan bagi menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.
“Kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawan,” jelasnya.
Dalam usaha mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, kerajaan menurut Ismail Sabri akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam melalui Suruhanjaya Sekuriti.
“Cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain,” katanya.
Selain itu, program kesedaran komuniti bagi menangani isu keganasan terhadap wanita turut dilaksanakan melalui Skuad Waja, kata Perdana Menteri.
“Bagi memastikan kesihatan wanita terus terpelihara, kerajaan juga memperuntukkan lebih RM11 juta sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita.
“Tidak dilupakan juga remaja wanita turut mendapat perhatian daripada kerajaan yang mana kit asas kebersihan diri diedarkan secara percuma kepada 130 ribu remaja wanita golongan B40 setiap bulan sepanjang tahun 2022,” ujarnya lagi.