8 MAC: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan terus komited membantu usahawan luar bandar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bencana alam.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata KPLB antaranya menawarkan program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start yang menyediakan geran bantuan bernilai RM3,000 hingga RM5,000.
Beliau berkata, bantuan itu bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan bertujuan
secara khusus untuk membantu usahawan memulakan semula perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bencana alam seperti banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021.
“Program yang bermula pada September 2021 ini telah berjaya membantu sehingga 586 orang usahawan dengan nilai geran berjumlah RM2.97 juta sehingga kini.
“Bagi tahun 2022 pula, dengan peruntukan sebanyak RM15.3 juta, KPLB telah merencanakan beberapa program secara menyeluruh bagi membantu usahawan meningkatkan taraf hidup ekonomi mereka,” katanya pada sesi jawapan lisan kepada Jugah anak Muyang (BEBAS -Lubok Antu) di Dewan Rakyat hari ini.
Menjelas persoalan tersebut, Hasbi berkata program-program tersebut termasuklah Program Rural Bussiness Challenge 2.0 (RBC 2.0), Program Start Right@KPLB, Program Usahawan Bergerak, Rural Bussiness Outlet, Program Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), dan juga Program
Outreach Usahawan@KPLB.
Menurutnya, program berkenaan bakal memberi manfaat kepada lebih 5,000 orang usahawan.
Selain itu, katanya RISDA turut melaksanakan Program Keusahawanan dan Aktiviti Ekonomi Tambahan bagi membantu usahawan pekebun kecil yang terkesan.
“Melalui program ini, usahawan pekebun kecil diberi bantuan dalam bentuk peralatan, mesin, bahan mentah dan input pertanian secara bimbingan dan latihan keusahawanan yang memfokuskan kepada pembangunan produk, pemasaran, pensijilan dan akreditasi.
“Peruntukan yang diterima pada tahun 2021 berjumlah RM19.97 juta dan sehingga kini seramai 3,513 orang usahawan pekebun kecil telah menerima bantuan ini di seluruh negara,” katanya.
Tambahnya, pada tahun ini, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) telah menerima peruntukan sebanyak RM27juta dengan sasaran 3,377 orang usahawan pekebun kecil.
Hasbi berkata, Program Pembangunan Keusahawanan pula diperuntukan sebanyak RM29juta dengan sasaran 11,620 orang usahawan pekebun kecil.