8 MAC : Selari dengan perancangan negara untuk memasuki Fasa Peralihan Endemik, Kerajaan telah memutuskan supaya sempadan negara turut dibuka semula pada 1 April ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau percaya ini antara pengumuman besar yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat.
Katanya, pengumuman ini juga akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik sebelum ini.
“Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu, pertama, ia berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19. Kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan yang ketiga, ia memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka.
“Paling penting, Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua pihak,” ujarnya dalam sidang akhbar di Parlimen petang ini.
Kata Ismail Sabri lagi, dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.
“Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.
“Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera,” jelasnya.
Walaubagaimanapun, menurut Ismail Sabri, ia masih mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda Malaysia dan kebanyakkan negara di seluruh dunia, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.
Manakala bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, kata Perdana Menteri, tiada lagi keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
“Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok,” katanya.
Kementerian yang berkaitan juga kata beliau akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut.
“Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.
“Seperti ramai sedia maklum, buat masa ini VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, seperti saya umumkan baru-baru ini, VTL turut dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat yang ingin memanfaatkan pembukaan sempadan negara dapat melaksanakannya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya.
“Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia yang cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam mematuhi SOP serta menyokong setiap inisiatif Kerajaan dalam memerangi COVID-19.
“Tanpa sumbangan Keluarga Malaysia, negara tidak akan boleh beralih ke Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’,” ujarnya.