9 MAC: Seramai 15,113,923 individu dewasa atau 64.2 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 setakat semalam.
Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 22,930,441 atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,207,220 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sebanyak 1,060,063 individu atau 29.9 peratus kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).
Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,832,919 individu atau 91 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,933,324 atau 94.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 68,624 dos vaksin diberikan meliputi 19,511 dos pertama, 1,835 dos kedua dan 47,278 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,869,343.- BERNAMA