9 MAC: Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (Akta 731) dirangka bagi mengawal selia aktiviti peremitan wang keluar negara oleh pekerja asing yang mencecah RM40 bilion setiap tahun.
Timbalan Menteri Kewangan 2, Yamani Hafez Musa berkata Akta 731 diperkenalkan pada tahun 2011 menyediakan sebuah rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif untuk mengawal selia aktiviti
perniagaan perkhidmatan wang, termasuk perniagaan pengiriman wang.
“Akta 731 adalah bertujuan untuk memastikan perkembangan industri perniagaan perkhidmatan wang yang tersusun, serta untuk memperkukuhkan keutuhan industri supaya tidak disalahgunakan untuk
jenayah kewangan dan aktiviti haram yang lain.
“Di bawah Akta 731, peserta-peserta industri mesti dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dan dikehendaki mematuhi keperluan undang-undang dan pengawalseliaan dalam menjalankan aktiviti
pengiriman wang,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Yamani Hafez berkata, perkara itu termasuk pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan terutamanya pelaksanaan langkah usaha wajar ke atas pelanggan serta penyelenggaraan rekod berkenaan transaksi perniagaan pengiriman wang.
Jelasnya, ia bagi melindungi pengendali pengiriman wang daripada digunakan sebagai perantara untuk aktiviti penghantaran wang haram.
“Sebagai suatu langkah pengawalan, BNM juga menetapkan had transaksi bagi pengiriman wang keluar oleh seseorang individu tidak boleh melebihi RM50,000 setiap hari.
“Di samping itu, pengendali tersebut juga dikehendaki untuk mengemukakan statistik transaksi secara berkala kepada BNM,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Mohd Khairuddin berkaitan aktiviti pengiriman wang haram, Yamani Hafez berkata, BNM meningkatkan aktiviti pengawasan bagi mengenal pasti pengendali yang tidak sah menerusi analisis data.
Katanya, langkah penguatkuasaan yang lebih kesan juga sedang diambil menerusi penambahbaikan Akta 371.
“Setakat akhir Disember 2021, sebanyak 42 pengendali pinjaman wang yang bukan bank telah dilesenkan di bawah Akta 371 yang menyediakan perkhidmatan tersebut menerusi 1,410 premis di seluruh negara,” katanya