10 MAC: David Bennett penerima jantung babi dari Amerika Syarikat meninggal dunia kelmarin selepas dua bulan menjalani pembedahan itu.
Bennett, 57, yang menerima jantung babi diubah suai secara genetik kerana menghidap penyakit jantung, yang menjalani pembedahan pada 7 Januari lalu meninggal dunia di Pusat Perubatan University of Maryland (UMMC).
Menurut pihak hospital, kesihatannya mulai merosot sejak beberapa hari lalu dan sukar untuk pulih.
Pengarah Program Pemindahan Kardiak universiti berkenaan, Muhammad Mohiuddin, dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa Bennett ada mengalami beberapa ‘masalah jangkitan’.
“Kami menghadapi kesukaran mengimbangi kadar kekurangan imuniti pesakit dan mengawal jangkitan yang dialami,” katanya.
Bagaimanapun, Bennett sempat berhubung dengan keluarganya pada detik-detik terakhir sebelum kematiannya.
Prosedur pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik adalah yang pertama seumpamanya di dunia, yang dijalankan oleh pasukan perubatan di Universiti Perubatan Maryland.
Ia secara tidak langsung merekodkan kejayaan pertama dalam bidang yang memungkinkan pembedahan pemindahan organ kaedah baharu. – AFP