10 MAC: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tindak tunduk kepada ‘tekanan’ yang mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.
Anthony memberikan alasan bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan PRU-15.
“Pokoknya sekarang bukan masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.
“Saya nak cadangkan kepada Bera (Ismail Sabri) supaya jangan tunduk kepada tekanan bubar Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, buat masa ini kerajaan wajar mengutamakan hal-hal berkaitan rakyat seperti meluluskan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.
Tambahan pula katanya ketika ini PH dan kerajaan mengikat memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada pertengahan September tahun lalu dan sah sehingga 31 Julai ini.
“Kerjasama iniboleh diteruskan lagi melalui MOU kedua sehingga penggal Parlimen tamat pada 2023.
“Sementara waktu ini COVID-19 belum reda, kita tangguh dulu pilihan raya…mungkin sehingga akhir tempoh Parlimen ini,” katanya.
Gesaan itu turut dibuat Datuk Dr Xavier Jayakumar (BEBAS-Kuala Langat) yang mahu Kerajaan Keluarga Malaysia memerintah dengan stabil dan memberi kestabilan kepada negara.
Beliau berharap selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, tiada lagi pilihan raya diadakan sehingga hujung 2023 dan semua pihak perlu menyokongnya.
Katanya, semua pihak perlu memberi masa kepada kerajaan sekarang untuk stabilkan situasi bagi membantu rakyat sama ada dari segi ekonomi, bantuan kewangan dan peluang pekerjaan.