11 MAC: Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) kini dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, GDRN itu merangkumi skop yang diperluaskan daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.
“Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan.
“Manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Hari Terbuka GLC 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menjelaskan, dengan skop baharu korporat itu, GDRN akan menerajui usaha Tanggungjawab Sosial Korporat secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC, sekali
gus memanfaatkan lebih ramai B40 dan golongan tumpuan tertentu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Hari Terbuka GLC 2022 bertujuan mendekatkan Keluarga Malaysia dengan GLC dan GLIC, terutamanya dalam membina semula kehidupan pascapandemik COVID-19.
Tambahnya, ia bertemakan ‘Aspirasi Masyarakat, Inspirasi Negara’, dan program itu menekankan usaha berterusan GLC dan GLIC dalam membina semula kehidupan Keluarga Malaysia pascapandemik dan mempamerkan konsep GLC dekat dengan rakyat, selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.
Sementara itu, Ismail Sabri Yaakob berkata gaji minimum kakitangan tetap GLC dan GLIC wajar dibayar sebanyak RM1,500 dan meminta pihak swasta turut mencontohinya bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah.
“Kerajaan prihatin atas cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
“Tahap pendapatan minimum ini wajar diamalkan oleh sektor swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah,” katanya.
Menurut beliau lagi, setiap GLC tersenarai perlu mencapai tahap penyertaan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah (ALP) menjelang mesyuarat agung tahunan pada 2023.
Inisiatif itu, katanya penting bagi mengiktiraf peranan wanita sebagai pemimpin dan penyumbang penting kemajuan sosioekonomi dan kemakmuran negara.