11 MAC : China akhirnya menuduh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai ‘punca segala masalah’ antara Moscow dan Kyiv.
China mengeluarkan kenyataan itu selepas beberapa kali didesak negara Barat supaya mengecam serangan Russia terhadap Ukraine,
China sebelum ini menolak desakan menyifatkan serangan Russia terhadap Ukraine sebagai peperangan, sebaliknya meminta kedua-dua negara mencapai kata putus menerusi rundingan yang kukuh.
Beijing memilih pendekatan itu kerana ia adalah sekutu utama Moscow dan China seboleh-bolehnya enggan merosakkan hubungan baiknya dengan Russia.
Bagaimanapun, kenyataan terbaru China itu menunjukkan Beijing sebenarnya mendakwa peperangan yang berlaku di Ukraine adalah disebabkan oleh NATO.
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, berkata pendirian China mengenai peperangan yang berlaku adalah ‘jelas dan konsisten’.
Namun, apabila ditanya adakah China sudah bersedia melabelkan pencerobohan Russia sebagai peperangan, Lijan menjawab ‘saya tidak rasa soalan itu perlu dijawab’.
Lijian juga mendesak Amerika Syarikat (AS) ‘menilai semula semua sekatan yang dikenakan terhadap Russia’ kerana menganggap langkah berkenaan tidak akan menamatkan peperangan yang tercetus.
“Sekatan terhadap pelbagai sektor Russia tidak akan meredakan konflik yang berlaku, sebaliknya menjejaskan ekonomi banyak negara lain.
“China dan Russia akan meneruskan apa yang kami persetujui sebelum ini seperti biasa,” katanya.
Pada masa yang sama, China juga bersetuju menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Ukraine berjumlah lima juta yuan (RM3.3 juta).
Terdahulu, China menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara Ukraine dan Russia.
Selain itu, beberapa negara lain turut ‘berharap’ Beijing dapat memujuk Moscow supaya menghentikan serangan di Ukraine.