11 MAC: Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Kuala Lumpur petang semalam, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kelima-lima mangsa yang dilaporkan tertimbus itu bermula sebaik Balai Bomba dan Penyelamat Pandan menerima panggilan kecemasan pada 5.54 petang.
Mangsa pertama iaitu seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan namun isterinya iaitu mangsa kedua yang ditemukan pada 7.53 malam, meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa keluar pada 9.15 malam.
Kira-Kira sejam setengah kemudian, mayat mangsa ketiga iaitu seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pemilik rumah dibawa keluar pada 10.58 malam.
Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak mengesahkan penemuan mayat mangsa keempat dan kelima, kedua-duanya lelaki warga tempatan termasuk seorang pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), masing-masing pada 12.46 tengah malam dan 1.59 pagi.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) di tapak runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat.
Identiti kesemua mangsa yang dibawa ke Hospital Ampang belum dikenal pasti.
Sebuah pusat pemindahan sementara turut dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Mega Jaya namun tinjauan Bernama mendapati belum ada mangsa yang berpindah ke situ setakat 3 pagi.
Terdahulu, penghuni di kawasan perumahan itu digemparkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada runtuhan tanah yang berlaku sebanyak dua kali ketika hujan lebat petang semalam malah detik-detik kejadian tersebut turut direkodkan oleh orang awam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini meramalkan Kuala Lumpur mengalami hujan berterusan di beberapa kawasan hingga 14 Mac.
Kejadian tanah runtuh itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang memaklumkan berita sedih tersebut menerusi hantaran ringkas di laman Facebooknya dan meminta orang ramai mendoakan agar semua mangsa dapat diselamatkan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan di Twitter beliau pula memaklumkan MPAJ turut membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan operasi SAR. – BERNAMA