11 MAC : Presiden Joko Widodo@Jokowi melantik Bambang Susantono sebagai Ketua dan Dhony Rahajoe sebagai Timbalan Ketua ibu kota baharu, Nusantara, dalam persiapan memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur .
Jokowi menandatangani Undang-Undang Ibu Kota 2022 bulan lalu, yang menetapkan Presiden perlu melantik ketua dan timbalan ketua dalam tempoh dua bulan selepas undang-undang itu berkuat kuasa.
Menurut peraturan itu, ketua pihak berkuasa akan mempunyai status setaraf menteri dan akan mengetuai persiapan untuk pembinaan dan penempatan semula ke Nusantara, ibu kota baharu yang juga pusat tadbir urus ibu negara.
Berucap pada upacara itu, Bambang berkata beliau berhasrat untuk membina ‘bandar untuk semua’ dengan bukan hanya menekankan kepada pembangunan infrastruktur fizikal di Nusantara, tetapi juga jiwa bandar.
“Kita bukan saja akan membina dari segi ((infrastruktur) fizikal tetapi kami juga akan memberi tumpuan kepada perpaduan sosial dan interaksi antara warga kota.
“Malah, kita akan memastikan bandar itu menjadi sebuah bandar yang mengutamakan nilai kemanusiaan dan selesa didiami,” katanya di Jakarta, semalam.
Tambah beliau, tugas awalnya dalam tempoh terdekat ini adalah untuk menyelaras dengan institusi berkaitan penyediaan asas bagi pemindahan ke Nusantara, seperti Badan Perancang Pembangunan Negara (Bappenas) serta Kementerian Kerja Raya dan Perumahan.
Sebelum dilantik sebagai ketua pihak berkuasa ibu kota yang baharu, Bambang ialah naib presiden di Bank Pembangunan Asia, jawatan yang dipegangnya sejak 2015.
Sementara itu, Dhony Rahajoe pula ialah pengarah urusan Sinar Mas Land, pemaju swasta yang terkenal dengan pembinaan Bumi Serpong Damai (BSD) City di Tangerang, Banten.
Pelantikan Dhony dibuat berikutan lawatan Jokowi dan pegawai lain ke bandar satelit itu pada Disember tahun lalu, bagi menyatakan hasrat kerajaan untuk menjadikan model pembangunan Nusantara seperti BSD City.
Jokowi mengarahkan pegawai yang baru dilantik dan menteri berkaitan untuk segera berusaha memastikan tanah tapak Nusantara mempunyai status undang-undang yang jelas.
“Kita kena pastikan tanah (pemilikan) di kawasan ibu kota baharu hanya boleh dipindah milik kepada institusi berkaitan yang memerlukan tanah itu untuk dibangunkan sebagai ibu negara,” katanya.
Beliau mengarahkan Menteri Pertanian dan Perancangan Ruang, Sofyan Djalil, menghentikan sijil bagi pengeluaran tanah baharu sijil dan berhenti memperakui pemindahan pemilikan tanah di kawasan yang bertindih dengan Nusantara.
Beliau juga mengarahkan Bambang dan Dhony untuk merekrut penduduk tempatan di Kalimantan Timur bagi memastikan mereka terbabit dalam proses pemindahan ibu kota.
Nusantara akan terletak di tapak dengan keluasan 256,000 hektar di kawasan yang meliputi Kabupaten Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara.
Mengikut rancangan semasa, projek itu akan menelan belanja Rp 466 trilion (RM136.7 bilion) dengan 19 peratus daripadanya dijangka dibiayai peruntukan negeri.