12 MAC : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengumumkan tiada bukti ditemui berhubung pelaksanaan program senjata biologi di Ukraine seperti yang didakwa Russia.
Russia melalui perwakilannya, Vassily Nebenzia, meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dakwaan Moscow bahawa Ukraine menjalankan aktiviti makmal senjata biologi dengan sokongan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS).
Negara anggota bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘pembohongan’ dan ‘karut’, malah menggunakan sesi berkenaan untuk menuduh Russia sengaja menyasar serta membunuh ratusan orang awam di Ukraine tetapi dinafikan Moscow.
AS bersama sekutunya turut menuduh Moscow menyebarkan dakwaan tanpa bukti itu sebagai suatu kemungkinan langkah awal Russia ke arah melancarkan serangan biologi atau kimia.
Perwakilan Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Pelucutan Senjata, Izumi Nakamitsu, memberitahu sidang Majlis Keselamatan bahawa PBB ‘tidak mengetahui’ sebarang program senjata biologi di Ukraine.
Sebelum ini Ukraine, Russia dan AS bersama 180 negara lain telah menyertai sekatan antarabangsa terhadap senjata seumpama itu.
Bawah satu perjanjian pada 2005, Pentagon membantu beberapa makmal kesihatan awam Ukraine berhubung usaha meningkatkan keselamatan dalam penggunaan teknologi serta patogen berbahaya untuk tujuan penyelidikan.
Usaha berkenaan menerima sokongan daripada beberapa negara lain dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sementara itu perwakilan AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, berkata Washington ‘amat bimbang’ akan kemungkinan tindakan Russia meminta sesi terbabit diadakan sebagai ‘usaha memberikan gambaran palsu’ untuk Moscow pula menggunakan senjata kimia atau biologi di Ukraine.
Beliau mendakwa, tujuan di sebalik tuduhan Russia yang disifatkan sebagai pembohongan itu adalah jelas, dan ia begitu menggusarkan.
Nebenzia dalam membalas kenyataan Thomas-Greenfield itu pula mengungkit semula kenyataan Setiausaha Negara AS pada 2003, Colin Powell di Majlis Keselamatan PBB yang mana Washington ketika itu mendakwa terdapat bukti bahawa Iraq sedang menyembunyikan senjata program pemusnah besar-besaran yang dilarang.
AS dilapor menggunakan dakwaan itu, yang didapati tidak benar, untuk menjustifikasi pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003.