12 MAC : Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, berkata Barisan Nasional (BN) secara tidak rasmi berjaya memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi MIC iaitu di DUN Kemelah, Kahang, Tenggaroh dan Bukit Batu.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Johor di atas kemenangan itu.
“Trend perubahan terbukti secara jelas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus membuktikan penduduk negeri ini telah bosan dengan pembangkang.
“Saya yakin selepas ini Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad akan melakukan yang terbaik untuk semua kaum di negeri ini,” katanya pada sesi temu bual secara maya di Facebook BN malam ini.
Kemenangan MIC di PRN Johor menurut Murugiah akan menterjemahkan kemampuan parti itu menawan kembali kepercayaan pengundi, khususnya dalam kalangan kaum India pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Dulu semasa PRU-14 kita lihat rakyat marah sehingga kita mahu pakai seragam BN pun risau. Kini, kita tidak lagi bimbang dengan prestasi BN kerana orang ramai sudah menerima semula gabungan ini dengan cara yang baik selepas menjalani liku kehidupan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Trend telah kembali kepada BN dan keyakinan ada pada MIC. Saya yakin pada PRU-15 nanti kita juga akan menang sembilan kerusi akan ditandingi MIC,” katanya lagi.