12 MAC : YouTube mengenakan sekatan ke atas saluran media yang menyokong dan mempunyai kaitan dengan Russia di seluruh dunia.
Terdahulu, saluran YouTube RT dan Sputnik mula disekat di seluruh Eropah, minggu lalu, lapor Agensi Anadolu.
“Kini, kami mengeluarkan kandungan berkaitan tindakan Russia di Ukraine, yang melanggar dasar,” menurut YouTube melalui Twitter, semalam, sambil menambah ‘garis panduan komuniti melarang penafian kandungan, meremehkan peristiwa keganasan sebenar yang berlaku.’
Pengemaskinian dasar berkuat kuasa serta-merta, namun sistem YouTube mengambil masa untuk menyekat saluran terbabit sepenuhnya.
YouTube turut mengeluarkan lebih 1,000 saluran dan lebih 15,000 video daripada platformnya berikutan pelanggaran dasar, seperti ucapan kebencian, maklumat salah serta kandungan grafik, susulan konflik Russia-Ukraine. – BERNAMA