13 MAC: DAP menerima keputusan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam dan akan memperbetulkan kelemahan dan memantapkan kembali Pakatan Harapan (PH) bagi menentang Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, DAP komited untuk menjaga, membantu dan mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama di bawah konsep Mengutamakan Rakyat Malaysia.
”Kita mesti bekerjasama dengan mendahulukan identiti Malaysia kita daripada perkara yang lain.
“Walaupun sekadar memenangi 10 kerusi, DAP dan PH akan terus mempertahankan kehidupan rakyat dengan memperjuangkan isu kenaikan harga barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Guan Eng, pakatan itu turut menolak cukai pendapatan sumber asing dan menentang kenaikan denda kompaun yang melampau bagi pelanggaran prosedur operasi standard COVID-19 kepada RM10,000 bagi individu dan RM1 juta untuk syarikat.
”Bagi 10 kerusi yang dimenangi DAP, DAP akan memastikan wakil rakyat kami berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin untuk menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat. Bagi 4 kerusi yang DAP kalah, kita akan buat pascanilai,” katanya.