13 MAC: Kaedah Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Berteraskan Digital akan dilaksanakan di semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penggunaan kaedah itu dilihat mampu merangsang perkembangan minda kanak-kanak secara lebih berkesan.
“Kita perlu bekalkan anak-anak kita dengan persekitaran pembelajaran yang kreatif, menarik dan aktif semasa usia mereka masih kecil lagi.
”Melalui penggunaan teknologi multimedia, kita sebenarnya sedang menyiapkan generasi masa hadapan yang seiring dengan keperluan dan perkembangan semasa dunia teknologi digital,” kata Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-Kanak (AIMPAK) Kuantan, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha, Datuk Ramlan Harun.
AIMPAK merupakan pengiktirafan kepada Pendidik Masyarakat TABIKA dan TASKA KEMAS yang telah menguasai kemahiran teknologi maklumat (IT) dalam semua aktiviti.
Selain telah menghasilkan bahan pengajaran berbentuk animasi yang kreatif dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas.
“Kualiti bahan multimedia ini sebenarnya telah dinilai oleh juri yang pakar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan pemain industri Multimedia tempatan seperti dari UPSI, ASWARA dan MDEC,” katanya.
Tambah Abdul Rahman, KEMAS menjalin kerjasama erat dengan beberapa institusi sebagai rakan strategik dalam memastikan kualiti pembelajaran di KEMAS berada pada tahap terbaik.
Antaranya, Universiti Perguruan Sultan Idris, (UPSI), Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BTSP) Kementerian Pendidikan (KPM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA ), Malaysia Digital Economic Development (MDEC) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
”Pertandingan AIMPAK melibatkan penyertaan seramai 431 orang Pendidik Masyarakat TABIKA dan TASKA KEMAS menerusi tujuh kategori.
”Antara kategori yang dipertandingkan adalah Inovasi Multimedia Kreatif Kategori TABIKA dan TASKA, Video Pendek STREAM, dan Amalan PdPR.
”Kategori Inovasi Gamifikasi turut diperkenalkan dengan menggunakan aplikasi Scratch untuk membangunkan permainan dalam bentuk digital yang sesuai dengan perkembangan awal kanak-kanak.
Satu kategori baharu turut diperkenalkan tahun ini iaitu Anugerah Penulisan Skrip Rancangan Pendidikan yang akan digunakan untuk program DidikTV KPM menerusi saluran televisyen Media Prima.