13 MAC: PAS yang duduk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, akur dengan keputusan yang dibuat oleh rakyat negeri itu.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan meneruskan agenda mereka dalam menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan ketara sokongan di kebanyakan kerusi yang ditandingi parti itu.
“PAS merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon PN, khususnya yang dikemukakan oleh PAS.
“Sokongan yang diberikan amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan, demi kemaslatan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalan pada itu, Abdul Hadi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua pihak yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat.
“Di kesempatan ini, PAS mengucapkan terima kasih kepada para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM), juga jentera parti yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.
Barisan Nasional (BN) mendapat mandat melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15 semalam.
PN pula menang tiga kerusi iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyumbang dua, manakala PAS meraih satu kerusi.