14 MAC : Seorang warga emas berusia 66 tahun yang juga pesakit COVID-19 ditemui meninggal dunia di kawasan berumput di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Berang.
Kejadian itu berlaku dipercayai ketika lelaki itu sedang mendapat rawatan dan kemudiannya melarikan diri dari Hospital Hulu Terengganu (HHT) hari ini
Mayat Kassim Abdullah dari Kampung Kuala Jenerih, ditemui orang awam dipercayai meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di susur keluar sebuah kilang berhampiran lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata siasatan awal mendapati mangsa mangsa adalah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di hospital itu dan dikesan keluar daripada kawasan hospital menggunakan motosikal Honda C100 milik kakitangan hospital yang di parkir di kawasan surau hospital.
Mangsa dikesan melarikan diri menghala ke Pekan Wakaf Tapai secara melawan arus dan sebaik tiba di persimpangan Bukit Perpat, motosikal ditunggangi secara tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik HHT untuk bedah siasat,” ujarnya.