14 MAC : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor di mana beliau melihat orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.
Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri.
Kenyataan terbaharu Hasni menerusi satu kenyataan hari ini seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19, susulan khabar angin terbaharu yang menyebut kini timbul nama lain bagi jawatan Menteri Besar.
Antara nama lain yang disebut-sebut dilantik sebagai Menteri Besar adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas EXCO Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang juga pemenang DUN Rengit.
Terdahulu media melaporkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipercayai menitahkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadap baginda, difahamkan susulan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) kelmarin bagi membolehkan Menteri Besar Johor yang ke-19 dilantik sekali gus mengangkat sumpah.
Kelmarin, Hasni dilaporkan akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilaporkan berkata hanya nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.
Beliau dilaporkan tidak menyebut sebarang nama lain, berkata pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir kelmarin, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.
Pada 28 Februari 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.