14 MAC : Memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kemasukan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang meliputi pembantu rumah akan ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia minggu ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Bercakap dalam sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata MoU itu akan ditandatangani di Jakarta, Indonesia.
Pada 6 Feb lepas, media melaporkan rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017 masih gagal diselesaikan dalam tempoh terdekat manakala MoU yang dijadual dimeterai kedua-dua negara pada 8 Feb ditangguhkan.
Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata sebanyak 148,300 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara berjaya diwujudkan tahun lepas dengan 109,605 atau 73.9 peratus daripada jumlah itu adalah dalam kategori mahir dan separuh mahir.
“Walaupun begitu, sebahagian daripada pekerjaan yang disebutkan melibatkan sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) maka kita masih ada isu iaitu warga tempatan, walaupun ada pekerjaan di peringkat bawah, mereka masih lagi tidak menerima dan ini menyebabkan kerajaan masih perlu bergantung kepada warga asing,” katanya.- BERNAMA