14 MAC : Australia akan memulakan tindakan undang-undang bersama Belanda terhadap Russia berhubung nahas pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang ditembak jatuh lapan tahun lalu.
Tindakan undang-undang itu akan difailkan menerusi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, dengan mendakwa Russia bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa dalam nahas membabitkan pesawat berkenaan.
Tindakan itu ada salah langkah bagi memperjuangkan keadilan bagi 298 mangsa, termasuk 38 warga Australia.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan bersama Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Menteri Luar Australia, Marise Payne, hari ini.
Tindakan bersama di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa itu berasingan dengan perbicaraan kes pembunuhan diterajui Belanda terhadap empat suspek dituduh menembak jatuh pesawat terbabit.
MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, di ruang udara timur Ukraine yang dikuasai puak pemberontak.
Menurut penyiasat dan pendakwa raya antarabangsa, pesawat itu ditembak peluru berpandu buatan Russia yang dilancarkan dari kawasan darat.
Moscow pula sentiasa menafikan pembabitannya dan mempromosikan pelbagai teori alternatif yang ditolak oleh penyiasat antarabangsa kerana tidak disokong dengan bukti.
Keputusan perbicaraan kes pembunuhan itu, membabitkan tiga warga Russia dan seorang warga Ukraine yang masih bebas, dijangka tamat akhir tahun ini, namun tiada seorang pun dalam kalangan defendan hadir di mahkamah Belanda.
Australia dan Belanda bergantung kepada bukti MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu darat ke udara Russia.
Ia disyaki diangkut dari Russia ke kawasan timur Ukraine yang dikawal puak pemisah disokong Russia dan diiringi kru tentera Russia, menurut kenyataan sama.