14 MAC: Vahagn Khachaturyan mengangkat sumpah sebagai Presiden Armenia kelima dalam satu sesi khas Parlimen di Yerevan, demikian lapor Xinhua.
Majlis angkat sumpah itu dihadiri Perdana Menteri Nikol Pashinyan, duta asing dan wakil badan bukan kerajaan.
Khachaturyan dipilih Parlimen pada 3 Mac lalu dan menurut Perlembagaan Armenia, tempoh khidmat beliau adalah selama tujuh tahun.
Penamaan ahli politik berusia 62 tahun itu yang berkhidmat sebagai Menteri Teknologi Tinggi, dibuat oleh gabungan parti pemerintah My Step Alliance.
Sebelum ini, bekas Presiden, Armen Sarkissian, dilapor meletakkan jawatan pada 23 Januari, menyatakan beliau tidak mempunyai kuasa yang diperlukan untuk menangani masalah politik dalam negara itu. – BERNAMA