14 MAC : Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng kerana memberi mandat kepada calon MCA, Ling Tian Soon sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Menurut Ka Siong, tanpa sokongan pengundi DUN Yong Peng, BN tidak mungkin memperolehi keputusan cemerlang pada PRN Johor kali ini.
“Dengan rendah diri, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi DUN Yong Peng yang telah memberi mandat kepada Ah Soon, kini bergelar YB Ling Tian Soon.
“Kepada jentera UMNO Bahagian Ayer Hitam serta sayap-sayap Pemuda, Wanita & Puteri yang bertungkus-lumus berkempen untuk Ah Soon, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anda semua. Jasamu dikenang selama-lamanya!,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Ka Siong turut memberi penghargaan khas kepada UMNO Bahagian Tampin yang diketuai oleh YB Dato’ Isam bin Haji Mohd Isa, ADUN Gemenchen yang siang malam membantu menggerakkan jentera BN.
“Selain daripada itu, “rumbernandri” (thank you) kepada Jentera MIC Bahagian Ayer Hitam yang sangat komited membantu Ah Soon dalam PRN Johor ini. KIMMA juga banyak membantu Jentera BN untuk mendapatkan sokongan pengundi.
“Seperkara yang menarik ialah rakan-rakan “original” yang setia BN termasuk pemimpin-pemimpin dalam PPP dan Gerakan di Parlimen Ayer Hitam tetap bersama-sama dengan kita membantu BN dan menyokong calon-calon BN di DUN Yong Peng serta DUN Semarang,” ujarnya lagi.