15 MAC: Kerajaan Ukraine melancarkan satu laman web bagi mengumpul dana dalam menghadapi serangan Russia.
Laman web ‘Aid for Ukraine’ itu dihasilkan dengan kerjasama firma kripto FTX dan Everstake untuk menyalurkan dana kepada bank pusat Ukraine.
Orang ramai boleh menawarkan derma dalam 10 mata wang kripto termasuklah menggunakan bitcoin, ether, tether dan dogecoin.
Timbalan Menteri Transformasi Digital Ukraine, Oleksandre Borniakov berkata, mata wang kripto memainkan peranan penting dalam pertahanan Ukraine.
“Aset mata wang kripto terbukti sangat berharga dalam memudahkan aliran pembiayaan kepada rakyat dan tentera Ukraine, malah dalam meningkatkan kesedaran dan minat dalam kalangan masyarakat global,” katanya dalam satu kenyataan.
Firma kripto Everstake yang juga antara terbesar di Ukraine, akan membenarkan pengguna membuat sumbangan dalam mata wang kripto lain, selain disenaraikan di laman web itu.
Laman ini juga bercadang menambah keupayaan untuk menderma NFT pada masa hadapan.
Platform pertukaran FTX berpangkalan di Bahamas dan diasaskan jutawan Amerika Syarikat (AS), Sam Bankman-Fried, akan menukar dana didermakan kepada dolar dan menyerahkannya kepada Bank Negara Ukraine.
Platform pertukaran mata wang kripto Ukraine, Kuna juga sebahagian daripada inisiatif itu.
Difahamkan menerusi laman web ‘Aid for Ukraine’, menjelang 2.30 pagi waktu tempatan hari ini, hampir AS$49 juta (RM206 juta) dikumpul bagi mencapai matlamat AS$200 juta (RM841 juta). – AGENSI