15 MAC: Mahkamah India hari ini mengekalkan larangan pemakaian tudung dalam kelas di wilayah selatan Karnataka yang dihuni minoriti Islam.
Sebelum ini, larangan yang dilaksaakan pada bulan lalu itu mencetuskan bantahan pelajar Islam dan keluarga mereka.
Pengkritik menyifatkan, tindakan itu satu cara untuk meminggirkan komuniti yang mewakili kira-kira 13 peratus daripada 1.35 bilion penduduk India yang majoritinya Hindu.
“Kami berpendapat pemakaian hijab oleh wanita Islam tidak menjadi sebahagian daripada amalan penting bagi agama,” kata Ketua Hakim Negara, Ritu Raj Awasthi di Mahkamah Tinggi Karnataka, dalam penghakimannya.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan garis panduan pakaian seragam, sekali gus menolak pelbagai petisyen yang mencabar perintah itu.
Menjelang keputusan itu, pihak berkuasa Karnataka mengumumkan penutupan sekolah dan kolej serta mengenakan sekatan ke atas perhimpunan awam di beberapa bahagian di wilayah itu bagi mengelak protes.
Karnataka, hab teknologi Bengaluru, adalah satu-satunya wilayah di selatan yang diperintah Parti Barathiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, yang akan mengadakan pilihan raya tempatannya tahun depan.
Pelajar yang mencabar larangan itu di mahkamah menjelaskan, memakai tudung adalah hak asasi yang dijamin di bawah perlembagaan India dan amalan penting bagi umat Islam.
Ketua Karnataka bagi Parti Demokratik Sosial India, yang memperjuangkan kepentingan Islam, Abdul Majeed, berkata beliau akan berhubung dengan pihak yang mahu mengemukakan petisyen dan ibu bapa bagi membantu mencabar keputusan dibuat mahkamah itu.
“Perintah mahkamah tinggi adalah menentang hak individu, hak asasi dan hak agama. Wanita Islam sudah memakai hijab selama ratusan tahun,” katanya.
Larangan di Karnataka itu sudah menyebabkan protes di beberapa bahagian lain di negara itu dan mendapat kritikan Amerika Syarikat (AS) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). – REUTERS