15 MAC : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini.
Turut Berangkat sama, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato’ Hasni Mohammad.
Pelantikan itu diumumkan Sultan Johor melalui Facebook rasmi baginda.
Datuk Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Datuk Onn Hafiz yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor amat aktif dalam pergerakan generasi muda.