15 MAC : Penggunaan inisiatif teknologi bersama penetapan dasar dan pentadbiran merupakan pendekatan yang terbaik bagi meningkat keberkesanan mengatasi ekonomi gelap.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, kaedah ini adalah berdasarkan amalan terbaik yang dilaksanakan oleh pihak pentadbir cukai negara-negara lain dalam menangani masalah yang sama.
Berdasarkan tanda aras ini, menurut beliau, beberapa inisiatif jangka masa panjang telah dilaksanakan atau diumumkan oleh kementerian kewangan.
“Pertamanya, meningkat aktiviti pendidikan cukai melalui seminar, taklimat, pengiklanan dan libat urus. Keduanya ialah menumpukan penguatkuasaan yang lebih berfokus bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai cukai.
“Ketiganya ialah melaksanakan sijil pematuhan cukai sebagai prasyarat bagi setiap syarikat pembekal yang ingin menyertai perolehan kerajaan bermula pada 1 Januari 2023 dan keempat pula, pemberian nombor pengenalan cukai pada semua warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara automatik.
“Kelimanya, ialah penggunaan Artificial Intelligent (AI) untuk mengumpul dan membuat padanan data termasuk menggunakan cerapan tingkah laku untuk komunikasi yang lebih berkesan dalam pembayaran cukai.
“Dan yang terakhir, menentukan sistem pematuhan cukai ini dibentuk menjadi satu platfom yang menggalakkan dan mendorong pematuhan secara sukarela oleh pembayar cukai,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berhubung langkah-langkah jangka masa panjang olehLembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengatasi masalah ekonomi gelap dalam menangani masalah kewujudan sindiket jenayah dan amalan rasuah di dalam negara.
Dalam menjawab soalan susulan berhubung penyiasatan dan pelaksanaan penguatkuasaan LHDN boleh menimbulkan kegerunan kepada sindiket jenayah, Yamani berkata, berdasarkan kajian pada tahun 2015 oleh Bank Dunia, peratusan ekonomi gelap berbanding KDNK Malaysia adalah sebanyak 30 peratus.
“Sebenarnya dengan sistem percukaian penggunaan sebelum ini, GST, peniaga akan keluar berdaftar, kerana terdapat insentif yang boleh menuntut kembali GST yang berbayar atas input perniagaan mereka.
“Di kalangan negara maju yang melaksanakan GST, kadar ekonomi gelap seperti perlarian dan penipuan cukai hanyalah sekadar 10 hingga ke 15 peratus, jauh lebih baik daripada negara-negara yang tidak menggunakan sistem percukaian GST,” ujarnya.