15 MAC : Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghargai pengorbanan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Hasni Mohammad yang memberi ruang dan laluan kepada orang muda bagi memimpin Johor.
Beliau berkata, pengorbanan yang dilakukan Datuk Seri Hasni Mohammad untuk memberi ruang kepadanya bagi memimpin Johor.
“Saya mendedikasikan penghargaan khas kepada mantan Menteri Besar itu atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepimpinan Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, bagi menstabilkan Johor yang disayangi.
“Langkah Datuk Seri Hasni itu bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau, tetapi juga membuktikan bahawa beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.
“Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.
“Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini supaya terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya menerusi satu kenyataan dimuat naik menerusi Facebook miliknya.
Terdahulu, Onn Hafiz yang juga cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, sah dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira jam 3 petang tadi. Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, beliau berasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan Sultan Johor itu.
“Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan saya galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan Bangsa Johor,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz memberikan jaminan kepada Bangsa Johor, segala janji yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) akan ditunaikan dengan sebaik mungkin.
“Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini.
“Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan negeri ini dan setiap dari rakyatnya.
“Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua. Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya.