16 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Suhaimi Ali sebagai Penolong Gabenornya berkuat kuasa 1 April depan.
BNM dalam kenyataan hari ini berkata, Suhaimi mula berkhidmat di BNM pada 1998 selepas menamatkan pengajian dari University of Notre Dame, Amerika Syarikat.
Katanya, sepanjang kerjaya beliau di BNM, beliau pernah berkhidmat di pelbagai jabatan, termasuk pembangunan sektor kewangan, pengawalan dan penyeliaan, perancangan strategik, amalan pasaran, perundingan antarabangsa dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) serta Pejabat Gabenor.
“BNM juga ingin mengumumkan persaraan Penolong Gabenor, Norzila Abdul Aziz yang berkuat kuasa 1 April 2022.
“Sejak menyertai BNM pada 1988, Norzila telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan memodenkan operasi pelaburan dan fungsi pasaran kewangan BNM, serta memacu usaha BNM untuk memperdalam pasaran kewangan Malaysia,” katanya.
Menurut BNM, Penolong Gabenornya, Adnan Zaylani Mohamad Zahid akan mengambil alih portfolio yang dipegang Norzila sekarang iaitu terdiri daripada Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan dan Jabatan Dasar Pertukaran Asing serta akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Pengurusan Data dan Statistik.
“Sementara itu, Suhaimi akan mengambil alih portfolio yang dipegang oleh Adnan sekarang ini iaitu terdiri Jabatan Pembangunan dan Inovasi Kewangan, Jabatan Sistem Kewangan Islam dan Jabatan Rangkuman Kewangan.