16 MAC: Kerajaan Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, adalah lebih baik pentadbiran sedia ada ditamatkan hingga akhir penggal iaitu April atau Mei tahun hadapan.
“Berdasarkan perbincangan dengan rakan-rakan dan pimpinan tertinggi, kalau ada pembubaran dalam masa terdekat, kerajaan negeri tidak berhasrat mengikutnya.
“Kita sepakat adalah lebih baik dan berkesan jika pentadbiran ini diselesaikan sehingga penggal berakhir.
“Bagaimanapun, ia bukan pengumuman saya kerana (pembubaran) di bawah perkenan Tuanku (Sultan Selangor),” katanya di Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan pendirian negeri itu yang tidak bercadang membubatkan DUN jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga membuat kenyataan sama dan berkata langkah itu bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat terutamanya dalam keadaan negara bakal memasuki fasa endemik.