16 MAC: Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, UMNO telah mula berubah dan menjadi pelopor dalam agenda pembaharuan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tewas pada PRU-14 menyebabkan UMNO merasakan keperitan dan ramai yang bercakap tentang pembaharuan.
“Tidak pernah terbayang sebelum ini, UMNO akan bercakap tentang penyertaan besar-besaran calon baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Sekarang UMNO menjadi pelopor kepada pembaharuan tersebut. Malah, kini UMNO yang paling ke hadapan dalam memperjuangkan Akta Khas bagi mencegah Lompat Parti.
“Agenda pembaharuan juga bukan lagi agenda pembangkang, UMNO hari ini ialah parti yang proreform mengatasi lawan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, semua momentum ini sangat mengujakan namun persoalannya bagaimana UMNO hendak menghadapi PRU-15 nanti.
Jelasnya, persiapan tersebut tidak boleh dilakukan secara sederhana dan memerlukan kerja keras semua pihak agar penguasaan ‘gelanggang’ pilihan raya menjadi kemas dan terbaik.
“Justeru, saya menyarankan beberapa strategi penting di sini. Pertama, strategi kemajmukan dan kepelbagaian mesti ditampilkan.
“Kedua, UMNO mesti melebarkan sokongan dalam kalangan orang Melayu bandar dan memantapkannya. Realitinya penyokong tegar kita banyak berhijrah ke bandar dan kerana penembusan modenisasi tetapi kita berdepan kesukaran untuk menang di kawasan bandar.
“Ketiga, menuju PRU akan datang UMNO memerlukan visi yang konkrit untuk Malaysia, bukan sekadar manifesto. Mari kita rumuskan satu visi yang benar-benar baharu dan memenuhi aspirasi Melayu dan Bukan Melayu,” katanya.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 akan berlangsung sehingga Sabtu ini.