16 MAC : Warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 28 Februari lalu serta mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau status diminta melakukan semakan nama dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2022 (DPT BLN2/2022).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, DPT BLN2/2022 yang telah diperaku pada 15 Mac lalu dan diwartakan hari ini, dibuka selama 30 hari mulai hari ini hingga 14 April depan untuk semakan.
“DPT BLN2/2022 ini mengandungi nama bagi 38,004 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 28 Feb 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 11,385 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 5,839 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN2/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN2/2022 iaitu seperti menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.
“Borang C dan Borang D boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN2/2022,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN2/2022, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. – BERNAMA